Monday 18 April 2016



Tugasan 2: SWY501 Pengurusan Institusi Pembangunan Islam


PELAKSANAAN SISTEM PENGURUSAN KUALITI ISLAM MS 1900


Sistem pengurusan kualiti Islam MS 1900 meletakkan syariah Islam di dalam pelaksanaannya. Bagi melaksanakan pensijilan MS 1900, terdapat syarat tertentu yang perlu difahami terlebih dahulu iaitu yang pertama memahami prinsip-prinsip asas syariah, yang kedua memahami prinsip halal dan haram dalam syariah, yang ketiga memahami prinsip muamalat, yang keempat memahami konsep kualiti dalam Islam dan yang terakhir ialah memahami nilai-nilai utama dalam Islam (Hasliza Mohamad Ali, 2015). Kelima-lima prinsip yang disenaraikan diatas penting untuk difahami kerana tanpa kefahaman dan ilmu yang jitu, sesebuah organisasi tidak dapat melaksanakan pensijilan MS 1900: 2005 dengan berkesan seperti yang dikehendaki.

Bagi melaksanakan MS 1900 ini, satu jawatankuasa telah diwujudkan iaitu Jawatankuasa Standard Perindustrian bagi Standard Halal (ISCI) dibawah kuasa Malaysia Standard. Malaysia Standard ini dibangunkan dengan tujuan untuk memastikan organisasi diuruskan selaras dengan prinsip syariah dan dibangunkan dengan tujuan untuk memastikan organisasi diuruskan selaras dengan prinsip syariah dan amalan sistem pengurusan kualiti. Standard ini memerlukan organisasi mengenal pasti titik kawalan kritikal syariah dalam keseluruhan proses organisasi itu, dengan berpandukan prinsip halal dan haram serta prinsip muamalat (urus niaga). Standard ini juga menggabungkan rangka kerja nilai teras organisasi untuk menjamin tadbir urus yang baik.

Menurut Siti Arni Basir, Ilhamie Abd. Ghani dan Nor Azzah Kamri (2013), pelaksanaan MS 1900 ini telah menghasilkan inovasi dalam bidang pentadbiran. Antara inovasi yang telah dihasilkan melalui pelaksanaan MS 1900 ini ialah prosedur kerja yang semakin mantap, dapat memenuhi kehendak pelanggan, membangunkan budaya kualiti, penambahbaikn pekerja yang berterusan dan juga pencapaian pekerja yang cemerlang. Kualiti dalam Islam menekankan aspek mencari keredhaan Allah dan pekerjaan yang dilakukan mestilah ikhlas dan juga selari dengan prinsip Islam iaitu halal. Pelaksanaan MS 1900: 2005 juga perlulah memenuhi ciri-ciri tertentu antaranya ialah untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan tadbir-urus yang baik, melahirkan kepemimpinan yang berkesan, menggerakkan organisasi secara berasukan, inovatif dan mempunyai nilai murni sejagat. 

Kesimpulannya, MS 1900 ini disusun mengikut struktur yang tersendiri bagi membantu organisasi menghasilkan produk dan memberikan perkhidmatan yang dapat memenuhi keperluan pelanggan, memenuhi keperluan undang-undang dan seterusnya mengikut keperluan syariah yang telah ditetapkan.


RUJUKAN


Draf Malaysian Standard. (2014). Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah- Keperluan dengan Panduan (semakan pertama).

Hasliza Mohamad Ali. (2015) Kajian Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti MS 1900: Keperluan daripada Perspektif Islam di Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar). Disertasi Ijazah Sarjana yang diserahkan kepada Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Tidak diterbitkan.

Siti Arni Bashir, Ilhamie Abd. Ghani dan Nor Azzah Kamri. (2013). Sistem Pengurusan Kualiti Islam MS 1900 Sebagai Program Inovasi Pentadbiran Awam: Kajian Kes di Pusat Zakat Melaka (PZM) kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Inovasi Sektor Awam Peringkat Kebangsaan 2013 anjuran bersama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA), Universiti Sains Malaysia pada 18-19 November.