Monday 14 March 2016

Tugasan Blog SYW 501

          Tugasan 1: SYW501 Pengurusan Institusi Pembangunan Islam
       Fatin Nabilah Binti Mohamad Tahir
    P-ISM0081/15
                   CALON SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN
                  ( PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)

Pengenalan Kepada Sistem Pengurusan Kualiti Islam MS 1900: 2005

Sistem Pengurusan Kualiti Islam atau lebih dikenali sebagai MS 1900:2005 ialah satu piawaian halal dalam bidang pengurusan kualiti yang telah digubal sejak dari tahun 2005. Idea awal penubuhannya telah dicetuskan oleh Tun Ahmad Sarji  Abd Hamid yang merupakan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) , Malaysia merangkap Mantan Pengerusi  IKIM serta SIRIM.

Sistem ini telah digubal oleh sebuah jawatankuasa khas yang dikenali sebagai Jawatankuasa Standard Malaysia berkenaan dengan Standard Halal (ISC 1). Jawatankuasa ini terdiri daripada beberapa agensi penting iaitu  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Standard Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Persatuan Pengilang-pengilang Malaysia, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan juga Institut Kualiti Malaysia. 

MS 1900: 2005 dibangunkan dengan menggunakan kerangka ISO 9001: 2000 yang merupakan versi Islam kepada pensijilan ISO 9001: 2000 dan merupakan yang pertama di dunia. Sistem Pengurusan Kualiti Islam MS 1900 diwujudkan untuk mengisi kelompangan yang wujud pada pensijilan ISO 9001: 2000 yang hanya mementingkan aspek produk dan output luaran sahaja malah ianya tidak menekankan kepada aspek dalamam mahupun spiritual itu sendiri. Sehubungan dengan itu, sistem piawaian ini turut diiktiraf oleh Standard Malaysia mengikut akta piawaian Malaysia 1996 (Akta 549) yang berpandukan piawaian asal MS ISO 9001: 2005 dengan menambah keperluan syariah di dalamnya. Seterusnya, pada tahun 2014 MS 1900: 2005 ditambahbaik menjadi MS 1900: 2014 melalui penjenamaan semula namanya yang baru iaitu Syariah-based Quality Management System - Requirement with Guidence.   

MS 1900: 2005 telah menggariskan tiga objektif utamanya dalam melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti Islam ini. Objektifnya yang pertama ialah untuk menyuntik kehendak dan keperluan syariah dalam amalan pengurusan kualiti dengan penekanan terhadap penghayatan nilai murni. Objektif yang kedua pula ialah untuk meningkatkan tahap kecekapan dan keberkesanan dalam pihak pengurusan organisasi menerusi amalan mahmudah. Seterusnya objektif yang terakhir pula ialah untuk meningkatkan tahap kepatuhan sesebuah organisasi terhadap kehendak syariah serta meningkatkan keyakinan pengguna, pelanggan Muslim dan juga pihak yang berkepentingan. Kelebihan yang terdapat pada MS 1900: 2005 ialah ianya dapat menjamin kualiti dan juga standard produk dan perkhidmatan yang berterusan yang dijalankan melalui surveillance audit iaitu audit pengawasan dengan memberi penekanan terhadap nilai-nilai Islam dan juga pegangan terhadap prinsip Islam.

Kesimpulannya, matlamat utama penubuhan piawaian ini adalah bagi menyuburkan amalan nilai-nilai murni Islam di dalam pengurusan kualiti sesebuah syarikat mahupun persatuan di negara ini. Dengan menjalankan Sistem Pengurusan Kualiti Islam MS 1900 dalam sistem pentadbiran sesebuah organisasi mahupun institusi, mutu dan prestasi sesebuah syarikat itu dapat ditingkatkan dengan penekanan kepada ajaran Islam yang sebenar. 




RUJUKAN

Hasan Al-Banna Mohamed, Abd Munim Ab Ghani, Siti Arni Basir. (2014). Sistem pengurusan kualiti menurut perspektif Islam MS 1900 di institusi pengajian tinggi: suatu cabaran masa kini. Global Journal Al Thaqafah 4 (2), 99-103.

Khatijah Othman. (2013). A brief overview on Islamic complience quality management system. International Journal of Management Sciences and Business Research, 2 (12), 139-140.

Rohana Mustaffa. MS 1900- Piawaian Halal Sistem Pengurusan Kualiti. Diakses dari
http://kpdnkk.bernama.com/newsBm.php?id=367533& pada 10 Mac 2016.