Monday 31 October 2016


ANCAMAN SEKULARISME TERHADAP MASYARAKAT ISLAM

Tugasan SYW 502
Fatin Nabilah Binti Mohamad Tahir
P-ISM081/15
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam
Universiti Sains Malaysia


Menurut Kamus Dewan Melayu, sekular bermaksud berkaitan dengan keduniaan, bersifat duniawi dan tidak berkaitan dengan agama. Sekularisme pula ialah satu ideologi atau fahaman yang menghapuskan kepercayaan kepada Tuhan dan menolak nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan sosial manusia. Kemasukan unsur-unsur sekularisme sangat membimbangkan terhadap umat Islam apabila ia mula meresap ke dalam pelbagai lapangan. Keadaan ini menyebabkan umat Islam lupa akan ajaran Islam yang menjadi tunggak utama dalam pelbagai aspek kehidupan. Fahaman sekularisme ini telah mengambil kesempatan untuk mengubah corak pentadbiran dalam bidang pendidikan, syariat, ekonomi, politik, ideologi, tingkah laku dan pentadbiran kepada corak sekular Islam. Tujuannya ialah agar dapat menjauhkan diri manusia daripada Islam seterusnya menutup sebarang hubungan alam ini dengan Allah SWT. Sekularisme adalah satu ancaman yang amat merbahaya kepada seluruh umat Islam khususnya kepada umat Islam di Malaysia. Terdapat sekurang-kurangnya tiga kesan yang negatif kepada umat Islam jika sekularisme terus menular dalam kalangan masyarakat Islam pada hari ini. 

Kesan yang pertama dapat dilihat dalam aspek agama dan juga akidah. Sekularisme telah memberi kesan terhadap agama Islam kerana telah membawa satu fahaman yang bertentangan dengan Islam iaitu pluralisme agama. Pluralisme agama ialah negara harus membebaskan rakyat untuk mengamalkan apa-apa agama seterusnya melihat semua agama harus dipandang sama dan memiliki kedudukan yang sama. Sekularisme juga telah mendorong munculnya liberalisme iaitu mencita-citakan suatu masyarakat yang bebas, dicirikan oleh kebebasan berpikir bagi para individu. Kaum intelektual Barat ingin mengembalikan semua perkara kepada kekuatan akal manusia. Hal ini jelas bertentangan dengan Islam kerana dalam Islam tiada ajaran yang boleh dipadankan dengan fahaman sekulerisme kerana Islam adalah ad-deen iaitu satu cara hidup. Ajaran Islam juga tidak memisahkan antara manusia dengan Penciptanya iaitu Allah SWT (Shopuan Anwar Ahmad, 2003). Jika masyarakat Islam masa kini terus mengamalkan sekularisme dalam kehidupan beragama, ini akan menyebabkan mereka terbelenggu pada dunia fizikal dan menyangkal nilai-nilai insaniah dan selanjutnya mendorong kepada sikap memper"tuhan"kan manusia. Lantas dengan peranan sebagai ‘pencipta baharu', mereka bukan sahaja menzalimi alam tetapi juga diri sendiri secara zahir dan batinnya. Hal ini akan menyebabkan pembangunan insaniah yang holistik tidak dapat dicapai. 

Kesan yang kedua yang dibawa oleh sekularisme ialah dari aspek ekonomi. Dalam aspek ekonomi, golongan sekular meletakkan keduniaan sebagai matlamat yang tidak ada kaitannya sama sekali dengan tuhan dan akhirat. Maka, bagi merealisasikan matlamat sekular, mereka menggubal sistem secara sesuka hati bagi memuaskan kehendak material semata-mata. Antara sistem yang diguna pakai adalah konsep riba yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Dalam ekonomi Islam, untuk mendapat keuntungan alternatif yang ada, ia bukanlah dengan jalan riba, tetapi ia berasaskan sistem jual beli dan mudarabah. Allah SWT telah menjelaskan bahawa jual beli dan riba adalah berbeza (Zaini Nasohah, 2004). Firman Allah SWT bermaksud:

           Dan Allah SWT telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba
                                                                                                   (al-Baqarah, 2: 275)

Sekalipun konsep jual beli antara agama Islam dengan sekular adalah sama, iaitu dengan adanya ijab qabul, tetapi dalam Islam, ia berdasarkan niat kerana Allah SWT yang mempunyai hubung kaitnya dengan akhirat, tanpa ada unsur penipuan untuk kepentingan peribadi semata-mata. Masyarakat yang mengamalkan sekularisme dalam kehidupan seharian akan menjadi seorang yang tamak haloba yang hanya memikirkan keuntungan di dunia semata-mata tanpa mengambil kira syariat Islam yang sebenar dan akan menjadikan keuntungan hidup di dunia sebagai satu matlamat hidup tanpa memikirkan untuk mendapatkan keredhaan Allah disetiap perbuatan yang dilakukan. Ini akan menyebabkan manusia menjadi hamba kepada ekonomi semata-mata

Kesan sekularisme yang seterusnya dapat dilihat daripada aspek sosial. Dalam aspek sosial, sekularisme banyak mengakibatkan berlakunya kepincangan dalam kehidupan masyarakat Islam hari ini. Kesan yang paling nyata dari pemikiran sekularisme ialah perubahan dalam perwatakan individu. Perubahan perwatakan ini bermaksud, seseorang itu tidak lagi mementingkan kehidupan beragama tetapi lebih kepada menurut hawa nafsu, yang mana ia seterusnya mengakibatkan berlakunya kekosongan jiwa (Sidek Baba, 2007). Kesan daripada kekosongan jiwa ini pula telah mengakibatkan runtuhnya moral dan akhlak para remaja khususnya dalam masyarakat Islam hari ini. Contoh yang paling jelas yang boleh dilihat ialah masalah pergaulan bebas dalam kalangan remaja masa kini. Ia merupakan pengaruh daripada ajaran sekular. Menurut sekular, mereka menghalalkan percampuran lelaki dan perempuan, zina, gay, lesbian dan lain-lain perkara sosial yang negatif (Sidek Baba, 2007). Hal ini sangat membimbangkan terutamanya dalam kalangan remaja kerana nilai-nilai keinsanan dalam diri insan itu telah hilang dan menyebabkan mereka tidak lagi menjaga batas dan adab susila sebagai seorang Muslim yang sebenar. Sikap mengagungkan budaya barat telah menjadikan remaja kini semakin rosak akhlak dan jiwanya. Hal ini amat membimbangkan kerana remaja pada hari ini akan menjadi pemimpin pada masa akan datang, jika rosak akhlak remaja Muslim pada hari ini, maka masyarakat akan kepupusan pemimpin yang berwibawa pada masa akan datang.  

Kesimpulannya, sekularisme adalah satu ancaman yang sangat bahaya kepada umat Islam pada hari ini jika tidak dibendung. Oleh itu, semua pihak haruslah menggembleng tenaga untuk memastikan agar umat Islam tidak terpengaruh dengan sekularisme. Para ilmuan Islam haruslah memainkan peranan untuk memberikan gambaran yang jelas tentang cara hidup Islam yang sebenar kepada semua lapisan masyarakat agar umat Islam tidak terjerumus kepada perkara yang bertentang dengan syariat Islam ini. Selain itu, pihak berkuasa juga harus memainkan peranan dalam memastikan anasir-anasir  luar yang berbahaya kepada umat Islam tidak terus menular dalam kalangan masyarakat melalui media massa yang bertentangan dengan Islam dan sebagainya. Umat Islam sendiri haruslah berbalik kepada ajaran Islam yang sebenar berasaskan al-Qur’an dan Hadith Rasulullah SAW dengan mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya.

RUJUKAN

Ghazali Darussalam. 1998. Dakwah Islam dan ideologi moden. Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Shopuan Anwar Ahmad. 2003. Apa perlunya tuhan dan agama. PTS Publications and Distribution Sdn. Bhd
Sidek Baba. 2007. Wahai remaja kembaramu bermula disini. Selangor: Karya Bestari Sdn Bhd.
Zack Zakiy. 2012. Pandangan Islam terhadap sekulerisme. Islam harmoni dengan akhlak diakses pada 26 Oktober 2016 daripada http://islamharmonidenganakhlak.blogspot.my/2012/12/pandangan-islam-terhadap-sekularisme.html
Zaini Nasohah. 2004. Pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia: sebelum dan menjelang merdeka. Kuala Lumpur: Utusan and Publications Sdn Bhd.