Monday 23 May 2016


Tugasan 3: SWY 501 Pengurusan Institusi Pembangunan Islam

PRINSIP SISTEM PENGURUSAN KUALITI ISLAM MS 1900


Artikel ini akan membincangkan mengenai prinsip sistem pengurusan kualiti MS 1900. Dalam sistem pengurusan kualiti MS 1900 terdapat prinsip-prinsipnya yang tersendiri yang terbahagi kepada tiga prinsip utama. Menurut Hasliza Mohamad Ali (2015) tiga prinsip berikut ialah yang pertama, pematuhan kepada prinsip halal dan haram dan prinsip muamalat manakala prinsip yang kedua pula ialah pengendalian operasi berasaskan nilai dan keputusan. Prinsip yang terakhir pula ialah  tindakan yang diambil perlu merujuk kepada maqasid syariah.

Prinsip yang pertama iaitu pematuhan kepada prinsip halal dan haram dan prinsip muamalat. Asas dalam penetapan hukum Islam yang diciptakan Allah SWT ialah halal dan harus. Namun sesuatu hukum itu akan menjadi haram apabila dibuktikan dengan ayat-ayat yang jelas daripada al-Quran dan al-Sunnah. Sekiranya tidak ada nas yang sarih disebabkan oleh hadis daif (lemah) yang menunjukkan haram, maka perkara tersebut tetap seperti hukum asal iaitu harus. Perkara yang dilarang lebih kecil daripada perkara yang dibenarkan. Hanya ada sebilangan kecil ayat yang jela mengenai larangan manakala apa sahaja yang tidak disebut dalam nas dihukumkan harus dan dimaaafkan. Setiap perkara yang haram atau apa sahaja yang menjurus kepada perkara haram dikira haram. Begitu juga jika bahayanya melebihi manfaat, ia adalah haram manakala jika manfaatnya melebihi bahaya ia adalah halal. Dalam Islam, perkara rutin kehidupan dan hal ehwal keduniaan boleh diubah menjadi ibadah dan ketaatan kepada Allah apabila disertai dengan niat yang baik. Oleh yang demikian, apa sahaja tindakan yang dibenarkan orang mukmin itu apabila disertakan dengan niat yang baik tindakannya menjadi satu ibadah.

Seterusnya, prinsip yang kedua dalam sistem pengurusan kualiti Islam MS 1900 ialah pengendalian operasi berasaskan nilai dan juga keputusan. Dato’ Dr Ismail Ibrahim menyatakan Islam adalah agama universal yang menawarkan banyak nilai. Nilai-nilai Islam sifatnya relevan dan dinamik sejajar dengan keperluan manusia dalam menggerakkan organisasi. Nilai-nilai yang baik ini perlu dimasukkan dalam pembangunan organisasi mahupun institusi. Nilai-nilai Islam secara khususnya telah menetapkan garis panduan serta sifat-sifat yang perlu ada pada seorang pengurus atau pekerja untuk dijadikan teras dan etika dalam semua hal-ehwal perkhidmatan untuk dinilai oleh Allah SWT. Menurut Mohamad Afandi Hasan (1992) pula menambah bahawa pengurusan dan pentadbiran yang berkonsepkan Islam hendaklah memenuhi kontrak asal antara Allah dan manusia, di mana manusia sebagai hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. Pengurusan ini hendaklah memastikan pemansuhan rasuah, kerosakan, dan ketidakadilan dalam usaha untuk mewujudkan keadilan dalam organisasi dan masyarakat demi mencapai kebahagiaan hidup dan kejayaan hidup di dunia mahupun di akhirat. Dalam menguruskan dan mengendalikan operasi di institusi mahupun organisasi berdapat beberapa nilai yang perlu ditekankan oleh pekerja mahupun pengurus iaitu nilai amanah, disiplin, ikhlas dan juga dedikasi.

Prinsip yang terakhir pula ialah prinsip tindakan yang diambil perlu merujuk kepada maqasid syariah. Maqasid Syariah bermatlamat untuk menjaga kemaslahatan umat dan menjauhkan kemudaratan. Setiap perintah dan larangan Allah SWT mempunyai hikmah dan iktibar kepada manusia. Menurut Wahbah Al-Zuhaily, Maqasid Syariah ialah sebagai objektif syariah Islam untuk memelihara hukum alam, menjaga manusia daripada terlibat dengan perkara-perkara yang merosakkan. Muhamad Abu Zahrah menggariskan, terdapat tiga aspek utama dalam Maqasid Syariah ini iaitu untuk mendidik individu, menegakkan keadilan dalam masyarakat Islam dan menjaga maslahah dan menolak mafsadah (dipetik daripada Hasliza Mohamad Ali, 2015)

Kesimpulannya, setiap institusi yang melaksanakan sistem pengurusan kualiti Islam MS 1900 perlu melaksanakan ketiga-tiga prinsip yang telah ditetapkan agar segala matlamat yang telah digariskan dalam standart ini dapat dicapai dan memberi kesan yang positif dalam pelaksanaannya kepada setiap institusi yang melaksanakannya.

RUJUKAN

Hasliza Mohamad Ali. (2015). Kajian Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti MS 1900: Keperluan daripada Perspektif Islam di Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar). Disertasi Ijazah Sarjana yang diserahkan kepada Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Tidak diterbitkan.

Hasan al-Banna Mohamed, Ab. Munim Ab. Ghani, Siti Arni Basir. (2013). Cabaran pelaksanaan MS 1900:2005 (Sistem Pengurusan Kualiti Menurut Perspektif Islam) di institusi pengajian tinggi swasta Malaysia: satu  kajian kes. International Convention on Islamic Management (ICIM 2013), APIUM. 27-28 November 2013.

Draf Malaysian Standard. (2014). Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah- Keperluan dengan Panduan (semakan pertama).

Muhammad Hisyam Mohamad. Piawaian Halal Sistem Pengurusan Kualiti Pemangkin Kepada Peningkatan Pencapaian Syarikat. Diakses dari http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/utusan-malaysia/7774 pada 20 Mei 2016.
 





No comments:

Post a Comment